Altantuya

By Unknown on Sunday, July 22, 2007

Filed Under:

Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu memasuki dimensi baru apabila Tian Chua menerima kecaman dan sumpah seranah dari beberapa orang pemimpin UMNO - BN kerana menyiarkan 'foto panas' yang cuba mengaitkan Najib dan Altantuya. Dalam hal ini, UMNO tidak mempedulikan isu pokok mengenai keterangan Burmaa Oyunchimeg di mahkamah, di mana saksi mendakwa melihat foto Altantuya makan semeja bersama Najib dan Razak Baginda.

Keterangan Burmaa yang lebih dikenali sebagai Amy dibuat di tempat yang mulia yakni di mahkamah, bukan di tepi pasar borong mahupun di serambi hotel lima bintang. Sebelum memberi keterangan, seseorang saksi perlu mengangkat sumpah dengan berkata benar dan tidak berdusta. Dan apa yang diperkatakan Amy haruslah dihurai dan dirungkai oleh para pahlawan lapuk UMNO -- bukannya bising menyalak isu gambar 'photoshop' karya Tian Chua.

Dalam foto tersebut, Tian Chua hanya merealisasikan situasi makan malam di Paris seperti yang didakwa Amy. Apa yang perlu dicerita dan disingkap ialah pengakuan Najib yang mengatakan beliau tidak kenal Altantuya dan jika sekiranya pengakuan itu diambil kira, timbul satu persoalan mengapa beliau perlu makan semeja dengan orang yang tidak dikenali di luar negara?

Kalau Najib bersama-sama rakyat Pekan berada dalam satu majlis tahlil arwah maka bolehlah kita katakan Najib mungkin tidak kenal mereka. Dalam kes makan malam ini secara jelasnya telah wujud satu jalinan hubungan intim di antara Najib Razak - Razak Baginda dengan Altantuya.

Kes pembunuhan Altantuya ini telah sampai ke satu tahap di mana terlalu banyak perkara yang diselindungkan dari pengetahuan rakyat. Namun, untuk membuat telahan bagaimana kes ini berakhir tidaklah sesukar mana. Kita hanya perlu mencari kes-kes yang diklasifikasikan sebagai 'kes berprofil tinggi' dan membaca sendiri kesudahan kes-kes tersebut.

Dalam kes pembunuhan Norita Shamsuddin, defendan Hanif Basri dibebaskan dari hukuman gantung sampai mati. Antara misteri yang gagal dibongkar ialah terdapat dua jenis sampel air mani lelaki di dalam tubuh Norita. Salah satunya milik Hanif Basri manakala yang lainnya gagal dikenal pasti. Siapa sebenarnya orang itu dan mengapa Norita dibunuh?

Kalau Hanif Basri terbukti tidak bersalah, siapakah yang bertanggungjawab membunuh Norita? Tiada jawapan dan kes ditutup.

Sekarang rujuk dan semak pula kes-kes berprofil tinggi lain seperti kes Man Datuk, Eric Chia dan Johari 'Joe' Baharum. Kesudahannya amat jengkel lagi menjengkelkan seolah-olah pihak pendakwaraya ini terdiri dari si bodoh yang tidak tahu apa-apa tentang prosedur undang-undang.

Sebenarnya, sistem kehakiman di negara kita ini bersifat buta kepada mereka - mereka yang berlenggang di koridor kuasa. Pada hari ini, mahkamah telah dicengkam kebebasannya dari menegakkan yang hak dan menghukum yang batil. Dalam hal ini sesiapa yang mempunyai kedudukan atau harta kekayaan maka mereka ini telah memperoleh imuniti dan dilindungi dari sebarang sabitan kesalahan di atas kes-kes jenayah yang dilakukan.

Pemerintah hari ini mempunyai kuasa yang sangat perkasa sehingga ia boleh menundukkan kuasa para Yang Arif dan membataskan kuasa raja-raja Melayu. Pemerintah berkuasa menukarkan seseorang yang jahat menjadi baik, menukarkan imej perompak supaya kelihatan laksana seorang alim, atau mengubah si penyangak menjadi pemimpin tersohor yang dimuliakan dengan pingat dan darjah kebesaran.

Untuk rekod, pemerintah juga mempunyai kuasa veto dalam menggagal atau meluluskan sesebuah dakwaan. Sila rujuk kes rasuah Rafidah Aziz yang sehingga kini tidak diungkap atau didendangkan di mana-mana kamar mahkamah walaupun peguam negara ketika itu telah bersiap sedia untuk mendakwa Rafidah.

Rafidah tidak didakwa bukan kerana dia tidak bersalah tetapi kerana dia dilindungi oleh pemerintah sendiri. Isa Samad walaupun disabit dengan kesalahan rasuah tidak pula dihumban ke dalam penjara. Mahathir Mohamad di sebalik melakukan pelbagai salah urus tadbir negara telah selamat menggelongsor turun dari takhta tanpa sebarang inkuiri awam atau diheret ke mahkamah atas pelbagai tuduhan salah guna kuasa.

Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh pemerintah terhadap sesebuah kes berprofil tinggi, dan seperti yang kita jangka kes Altantuya ini juga akan berakhir dengan satu kesimpulan yang sama yakni Najib dan Razak Baginda akan terselamat dari sebarang tuduhan atau kaitan dengan Altantuya -- dan kes pun ditutup.

Bahagian Kedua: Kuasa Veto Tingkat 4

Kita sudah sedia maklum pemerintah mempunyai kuasa veto untuk mendiamkan sesebuah kes berprofil tinggi. Sebagaimana kes rasuah Rafidah yang sudah lupus ditelan masa, demikian juga dengan kes Altantuya ini. Pemerintah tidak mempunyai masalah untuk mendiamkan kes Altantuya agar ia dapat diselesaikan secara senyap-senyap tanpa sebarang pendedahan kepada rakyat.

Namun akhirnya kes ini mendapat perhatian dan publisiti meluas dari media massa tempatan yang telah dicucuk hidung oleh parti pemerintah. Media-media cetak dan elektronik telah mendapat lampu hijau untuk mensensasikan kes ini -- dan tumpuan terarah kepada Najib Razak kerana pembunuhan dan peletupan ini tidak akan terjadi dengan hanya persekongkolan tiga orang insan semata-mata.

Tetapi ia bukanlah melibatkan Najib Razak sahaja, ia sebenarnya turut melibatkan mereka yang berpangkat lebih tinggi dari Najib Razak. Penulis tidak menuding jari kepada Perdana Menteri kerana pada masa ini telah wujud pihak yang lebih berkuasa dari beliau sendiri. Perdana Menteri sekarang hanya berfungsi sebagai lambang Ketuanan Melayu sahaja. Beliau boleh pergi bercuti ke mana sahaja beliau mahu. Sama ada Malaysia ditadbir secara telus ataupun korup tidak ada kena mengena dengan Perdana Menteri kerana beliau bukanlah pemerintah sebenar negara kita pada waktu ini.

Di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, Malaysia dikatakan semakin maju dari segi sosio-ekonominya. Bayangkan dalam keadaan mamai dan selalu tertidur pun negara ini telah berjaya mengatasi pencapaian yang dibuat oleh seorang pemimpin yang segar bugar seperti Dr. Mahathir.

Ini semua temberang. Perdana Menteri yang selalu tidur, acapkali pergi oversea sambil membawa seramai mungkin sida-sida Menteri Besar serta jarang berada di dalam negara untuk satu tempoh yang lama tidak mungkin mampu memangkin kemajuan ekonomi Malaysia.

Apa yang Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi buat ialah beliau 'sub-contract' jawatan Perdana Menteri kepada pihak-pihak lain yang kita gelar sebagai 'Mangkuk Tingkat Empat'. Ternyata Abdullah lebih mementingkan kebahagiaan peribadi bersama Jean Danker dan bukannya memikirkan cara untuk memulihkan integriti negara yang semakin tercalar teruk dicemuh masyarakat antarabangsa.

Mangkuk-mangkuk inipun bukannya menjana ekonomi negara tetapi mereka hanya pandai memanipulasi angka bagi menipu rakyat marhaen. Malangnya bukan semua orang yang boleh ditipu mereka kerana terdapat ramai lagi rakyat yang masih cerdik menghadam fakta serta menelan hakikat bahawasanya Malaysia ini semakin mundur dan cacamarba di bawah pentadbiran Imam Hadhari.

Bahagian Ketiga: Bukan Najib Sahaja Yang Terlibat

Sama ada para pembaca bersetuju atau tidak, kes Altantuya ini dari segi kes komisyen peralatan tenteranya memang melibatkan Najib tetapi dari sudut perancangan pembunuhan sebenarnya telah melibatkan pelbagai pihak yang kita sendiri pun tidak tahu siapa mereka.

Altantuya dibunuh sebegitu rupa bagi membongkar rahsia persekongkolan Najib Tun Razak dalam transaksi komisyen yang melibatkan hampir setengah billion ringgit. Tindakan ini tidak lebih dari sekadar usaha untuk mengugut Najib Razak agar berhenti dari bermimpi di siang hari untuk menjadi Perdana Menteri.

Tetapi yang uniknya nama Najib tidak dikaitkan secara langsung sepanjang prosiding perbicaraan -- tidak sebagaimana kes sodomi Anwar di mana Anwar sendiri meringkuk di dalam kandang tertuduh.

Kejanggalan timbul kerana bom C4 telah digunakan untuk menghancurkan tubuh kaku mendiang Altantuya. Apa yang dipersoalkan ialah cebisan-cebisan tubuh mendiang yang masih bersisa setelah diledak dengan bom tersebut. Terdapat kebarangkalian betapa sisa tubuh Altantuya sengaja dibiarkan terdedah sebagai bahan bukti kes. Mengikut hukumnya jika tubuh seseorang diletupkan bersama C4 maka yang tinggal hanyalah abu mayat sahaja.

Yang lebih menimbulkan tanda tanya ialah kecekapan polis dalam mengesan identiti si mati bernama Aminah Abdullah @ Altantuya Shaariibuu. Altantuya merupakan warga negara Mongolia dan mayatnya bukan ditemui dalam keadaan sempurna. Polis juga hebat kerana berjaya mengecam penggunaan bom C4 dalam pembunuhan ini. Mungkinkah bom C4 sememangnya tidak asing bagi pihak Polis?

Maka cebisan tubuh Altantuya pun ditemui. Sebelum itu eloklah kita ketahui Jabatan Imigresen telah memadam rekod kemasukan Altantuya ke Malaysia.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal imigresen ini berada di bawah kuasa pentadbiran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di mana Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang menerajuinya.

Sekarang ini telah terserlah penglibatan dua kementerian yang masing - masing diterajui Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya 'Amina' Shaariibuu. Kesimpulannya kes Altantuya bukan melibatkan Razak Baginda mahupun Najib sahaja, tetapi nampak gayanya ada pihak lain yang turut mempunyai agenda dan kepentingan tertentu di dalam kes ini. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk mendedahkan konspirasi kes ini sehingga ke akar umbi.

Tindakan mengaitkan bom C4 dengan Kementerian Pertahanan, atau mengaitkan anggota UTK yang berkhidmat untuk Timbalan Perdana Menteri sebenarnya adalah percubaan untuk mensabotaj kerjaya politik Najib Tun Razak.

Penulis yakin bom C4 bukan hak eksklusif Kementerian Pertahanan. Terdapat kemungkinan bom ini juga dimiliki pihak polis, atau mungkin VAT 69. Penulis juga tidak menolak kebarangkalian bahawa anggota UTK tidak semestinya patuh kepada tuannya sahaja. Mungkin mereka juga patuh kepada pihak atasan yang lebih kanan dari tuannya.

Dalam memperincikan skop tugas para anggota UTK, terdapat dua orang insan yang lebih layak memperkatakan mengenainya, yakni Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sebuah laman blog pernah mendedahkan Khairy Jamaluddin telah bertindak menukarkan hakim perbicaraan kepada seorang pelatih hakim atau pesuruhjaya kehakiman. Dalam isu berkaitan juga kita diberitahu peguambela Razak Baginda, Wong Kian Kheong ialah seorang peguam yang berkhidmat di bawah Tetuan Hishammuddin milik sepupu Najib, Hishammuddin Tun Hussein. Lebih memeranjatkan ialah tindakan Peguam Negara menukar keseluruhan divisyen timbalan pendakwa raya atas alasan pernah melihat Salehuddin bermain badminton dengan hakim Dato' Mohd. Zaki Yassin. Salehuddin akhirnya digantikan dengan Tun Majid Tun Hamzah dari divisyen sivil.

Persekongkolan ini amat menarik jika kita perhatikan. Seolah-olah berlakunya pakatan untuk menimbus kebenaran di dalam kes pembunuhan Altantuya ini. Ia lebih kepada sebuah jalinan kerjasama untuk memberitahu Najib betapa beliau boleh bersara awal dari koridor kuasa tanpa perlu dibebani isu komisyen peralatan tentera mahupun isu-isu 'picisan' lain yang melibatkan sikap lahap Rosmah Mansor.

Najib tidak perlu berasa kesal untuk berundur dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan keluar dari koridor kuasa melalui jalan belakang seperti mana Khalil Yaakob hilang dari skrin radar politik UMNO. Malah beliau sepatutnya bersyukur jika karier politiknya dapat ditamatkan tanpa perlu mengharungi onak kawat berduri penjara Sungai Buloh -- seperti yang telah ditimpakan ke atas Anwar Ibrahim.

Akhir kata, tidak perlulah kita bergantung harap kepada janji Peguam Negara yang memberi jaminan bahawa 'segalanya akan terdedah' kerana keadilan tidak akan mampu ditegakkan di dalam kes ini.

Tiada apa yang mahkamah boleh lakukan selain menutup kes berprofil tinggi ini sama seperti kes-kes seangkatan dengannya. Namun di saat penulis membuat kesimpulan ini terdapat dakwaan yang mengatakan 'Altantuya' sedang berlegar-legar di ruang kamar perbicaraan -- Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Benarlah kata blogger, roh orang mati kena bom tidak akan aman.

Asal: http://adilrakyat.blogspot.com/2007/07/altantuya.html

THE REDLINE
http://www.adilrakyat.blogspot.com/

0 Komen for this post