Bijak.. Bijak..
By Unknown on Thursday, July 12, 2007
Filed Under:
Gaji dan elaun kakitangan awam Malaysia dinaikkan sehingga 35% sedangkan peningkatan kewangan Kerajaan Malaysia hanya sekitar 8% (itupun setelah lebihan dari unjuran royalti hasil minyak dan gas).
Bagaimana agaknya Kementerian Kewangan akan menjanakan lebihan untuk membayar kos peningkatan gaji dan elaun kakitangan awam? Memang kakitangan awam dan swasta perlu mendapat peningkatan gaji yang setara dengan kos sara hidup masa kini setelah lama kenaikan gaji ditangguhkan. Saya amat bersetuju dengan kenaikan ini, namun apa yang merunsingkan saya adalah dari mana Kerajaan akan menyediakan dana untuk membuat pembayaran ini.
Ada beberapa cara yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh Kementerian Kewangan yang ditadbirurus oleh Abdullah Ahmad Badawi.
1. Dengan mengurangkan pembayaran subsidi kepada industri minyak negara yang mana lebihan ini akan digunakan untuk tujuan pembayaran kenaikan gaji.
2. Dengan mengenakan beberapa cukai dan duti tambahan kepada beberapa perusahan yang kononnya membahayakan kesihatan rakyat (arak dan tembakau).
3. Dengan membenarkan beberapa saham yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia dalam GLC dimudahtunaikan dan pencairan saham atas dasar mengurangkan kepentingan (Maxis dan Proton)
4. Dengan mengenakan duti khas anti-lambakan kepada pengimpot termasuklah kepada beberapa industri yang berkait rapat dengan kejuruteraan otomotif.
5. Dengan mengenakan tambahan harga atas barangan keperluan umum terutamanya barangan kawalan yang mana diimpot oleh GLC (beras, bawang dan serbuk kari)
Malah banyak lagi cara yang sedang dikaji oleh Kementerian Kewangan yang sebenarnya sedang menekan rakyat secara tidak langsung demi untuk menunjukkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi kepada kakitangan awam.
Kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam yang kini telah dilaksanakan sedikit sebanyak akan mencengkam kuasa ekonomi tempatan kerana kos sara hidup kini telah naik sekitar 2 - 5% disebabkan oleh kenaikan harga barangan. Kakitangan swasta dan yang bekerja sendiri telah menjadi mangsa “political mileage” yang dijanakan oleh juak-juak Abdullah Ahmad Badawi.
Kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam ini pada dasarnya memang sengaja diunjurkan demi untuk mendapatkan respon yang baik serta sokongan dari kakitangan awam untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang. Teknik ini bolehlah diklasifikasikan sebagai satu bentuk rasuah besar-besaran yang mendapat mandat dari semua kakitangan awam.
Kepada semua kakitangan awam, anda memang berhak mendapat kenaikan tersebut namun ianya tidak wajar dijadikan satu pengikat yang akan menyebabkan anda memilih pemimpin yang terbukti melakukan rasuah dan tidak berupaya menjadi pemimpin negara. Jangan sampai anda terlibat sama menjual negara ini dalam diam.
Oleh yang demikian, saya ingin memohon jasa baik Kementerian Kewangan memperincikan dan membuat siaraya umum mengenai bagaimana Kerajaan Malaysia menyediakan dana untuk membayar peningkatan gaji dan elaun kakitangan awam. Sebagai pembayar cukai, saya ingin mendapatkan kepastian dana manakah yang akan digunakan untuk menampung kos peningkatan gaji ini.
Ke Artikel asal / memberikan komen: di sini.
Ketua Perusuh
Bekas Fellow Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)
(http://ketuaperusuh.wordpress.com/)
0 Komen for this post