Negara Islam: Najib Terperangkap

By Unknown on Friday, July 27, 2007

Filed Under:

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menggesa anggota komponen BN menyatakan pendirian rasmi sama ada menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa Malaysia Negara Islam.

"Jika itu pendirian BN, mengapa MCA membantah? Bagaitnana pula pendirian Gerakan, MIC dan lain-lain? Jika mereka secara terbuka juga membantah, di mana maruah dan kewibawaan Najib? Adakah Najib salah perhitungan sekali lagi?" soal Husam.

Usaha Najib mempolitikkan Islam kali ini dilihat memerangkap dirinya dan juga Umno. Justeru, bagi Husam, Umno mesti menyelesaikan pertikaiannya dengan MCA secara bijak.

"Inilah yang dipanggil mempolitikkan agama. Untuk pengundi Islam, Malaysia dikatakan negara Islam, untuk pengundi bukan Islam, Malaysia adalah negara sekular. Matematik seperti ini tidak lagi berkesan," tegas beliau.

Husam yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, di sebalik kenyataan tersebut amalan rasuah sudah hampir menjadi norma umum kerajaan BN, dengan satu demi satu pembesar hanya mampu disiasat untuk kemudian diisytiharkan bersih.

Kerajaan katanya, tidak mempedulikan penderitaan rakyat sebaliknya terus memberi projek mega dengan niat memberikan kekayaan kepada kroni terpilih dan negara akhirnya terbeban.

"Dengan semakin merosotnya kebebasan menegur pemerintah, dan seribu satu kepincangan ekonomi, sosial, undang-undang dan 'Governance' seperti yang kita saksikan, ia cuba diselimutkan dengan istilah negara Islam tetapi hanya mencemarkan nama baik Islam itu sendiri," katanya.

Beliau seterusnya menasihati Najib agar tidak mencemarkan Islam dengan agenda politik pilihan raya.

0 Komen for this post