Pimpinan UMNO bersetuju UMNO Parti Penakut

By Unknown on Saturday, July 14, 2007

Filed Under:



Menteri Besar Pahang yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dato’ Seri Adnan Yaakub telah menyatakan UMNO semakin takut untuk menyuarakan perkara sensitif termasuk isu mencabar kepentingan orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga ada pihak lain berani melakukannya secara terbuka. Kenyataan ini telah dibuat selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri dibangunan baru RTM Jalan Kamunting dan telah disiarkan oleh Berita Harian pada hari semalam 12hb Julai 2007.

Kenyataan Dato’ Seri Adnan Yaakub ini telah disokong oleh beberapa orang pimpinan dan bekas pimpinan UMNO antaranya Tan Seri Megat Junit Bin Megat Ayub Bekas Setiausaha UMNO yang juga Bekas Menteri Dalam Negeri, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional Datuk Mohd Alwi Che Mat.

Kenyataan beberapa orang besar UMNO ini yang bersetuju dengan kenyataan Dato’ Seri Adnan Yaakub bermaksud mereka bersetuju bahawa UMNO penakut dan jalan penyelesaian kepada masalah ini UMNO perlu lebih tegas untuk membangkitkan isu-isu orang Melayu. Kesimpulan kepada pandangan pemimpin UMNO ini adalah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Bawawi, Presiden UMNO selama ini penakut dan tidak tegas ataupun perkataan seerti dengannya adalah ‘lemah’ atau ‘lembab’.

Persoalannya mampukah UMNO bertindak lebih tegas dalam memperjuangkan isu-isu orang melayu atau Bumiputra jika selama ini mereka yang mengkhianati perjuangan melayu? Mampukah UMNO berkokok panjang sedangkan ekornya penuh dengan najis seperti politik wang, kroni, dendam, khianat dan saling benci membenci?

Persoalan biasiswa sebagai contoh orang melayu atau bumiputra berhak untuk mendapat biasiswa seperti dalam perkara 153 perlembagaan Malaysia. UMNO yang menerajui Kementerian Pelajaran, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan menukar daripada Biasiswa kepada pinjaman PTPTN.

Pelajar lepasan universiti yang telah dibekukan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dibebani dengan hutang yang banyak sebelum mereka mendapat pekerjaan. Peluang pekerjaan pula semakin sukar pada masakini. Akhirnya mereka menjadi penganggur yang berhutang. Apakah menukar biasiswa kepada pinjaman itu bukan mengkhianati perjuangan Melayu namanya?

Saya sebagai Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat mencabar jika UMNO bukan parti penakut maka buktikan kepada rakyat negara ini khususnya orang Melayu dengan mengembalikan semua tanah-tanah rizeb Melayu, mengembalikan pinjaman PTPTN kepada biasiswa, mengambalikan Bahasa Melayu dalam Sains dan Metematik di sekolah-sekolah, mengekalkan kouta bumiputra dan mengembalikan dasar-dasar yang tegas dalam Dasar Ekonomi Baru(DEB).

Pemuda UMNO jangan hanya berani menghunus keris tidak bersarung dalam Perhimpunan Pemuda UMNO untuk membuktikan kesungguhan memperjuangkan nasib orang melayu. Ketua Pemuda UMNO Dato’ Hishamuddin Tun Hussin yang berasal daripada Johor mesti membuktikan dengan menghalang penghapusan ekuiti 30% milik bumiputra terhadap syarikat yang akan melabur di Wilayah Pembangunan Iskandar(WPI) yang telah diumumkan oleh Perdana menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apa maknanya pembangunan sebanyak RM46 bilion dalam WPI jika nasib orang melayu di Pontian, Gelang Patah, Tanjung Piai, Pasir Gudang, Kulai dan Johor Baharu di kaut oleh orang asing yang melabur di negara ini khususnya daripada Singapura. Jika UMNO tetap dengan pendirian penakutnya maka adalah lebih baik mengundur diri daripada menjadi pemerintah di negara ini.

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat.
019-7285174

http://pemuda.pas.org.my/

13.07.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.

0 Komen for this post