Apakah Peguam Negara Berlagak Seperti Dewata?
By Unknown on Thursday, August 02, 2007
Filed Under:
Lantas dengan sekali hayunan penanya, Peguam Negara telah menyelamatkan kepimpinan Abdullah daripada krisis keyakinan yang dicetuskan oleh pelbagai ledakan skandal korupsi (awal tahun ini) yang menyelubungi ketua penguatkuasa tertinggi dalam pentadbiran Abdullah.
Bukan setakat itu sahaja, dengan membersihkan tiga orang pegawai daripada skandal tersebut Peguam Negara telah mengalihkan tumpuan kepada pengendali laman web dan blog yang telah bertanggungjawab memperbesarkan segala skandal di peringkat tertinggi itu, dan membenarkan kepimpinan UMNO yang tidak berguna melancarkan satu serangan balas terhadap apa yang disebutnya sebagai pengacau ruang siber.
Setelah sengaja memeram segala laporan rasuah untuk beberapa bulan dengan alasan tidak ada sebab yang munasabah, secara tiba-tiba Peguam Negara mendapat satu semangat baru untuk mengisytiharkan pihak yang tercemar imejnya sebagai bersih dan pengumumannya itu telah diterima dengan tanggapan yang penuh skeptik.. Malahan pengumuman Peguam Negara kepada pihak media telah mencetuskan lebih banyak persoalan yang tidak ada jawapannya.
Saya akan sentuh ketiga-tiga itu secara berasingan, memulakannya dengan KPN.
KETUA POLIS NEGARA
Peguam Negara Abdul Gani Patail telah berkata bahawa berasaskan siasatan BPR, dakwaan korupsi terhadap KPN Musa Hassan adalah tidak berasas, kerana siasatan ke atas penyata akaun bank Musa dan hartanahnya menunjukkan tidak ada sesuatu yang mencurigakan
Mengenai dakwaan khusus bahawa KPN dan pegawai beliau pernah menerima wang sogok sebanyak RM 2 juta untuk membebaskan tiga orang tahanan yang terlibat dengan sindiket perjudian di Keluang, Peguam Negara (Peguam Negara) telah berkata bahawa tiga orang tahanan itu telah tersilap ditahan pada 30 Mac 2007 disebabkan satu kenyataan palsu yang melibatkan enam tandatangan individu yang telah dipalsukan. Lima orang individu itu berada dalam lokap polis Keluang dan yang keenam telah dibawa ke mahkamah ketika kenyataan itu dibuat. Tiga orang tahanan itu telah dibebaskan pada 6 April atas arahan Timbalan Pengarah CID bahagian operasi risikan; Timbalan Pesuruhjaya Khalid Abu Bakar, yang telah mendapat arahan daripada Musa untuk menyelidik kes tersebut setelah menerima maklumat (tip) wujudnya penganiayaan. Khalid juga mencadangkan agar tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai polis yang terlibat dalam penganiayaan tersebut.
Soalan saya:
1. Seandainya pegawai polis yang membuat penganiayaan itu memang bersalah, kenapa mereka tidak didakwa di mahkamah?
2. Seandainya tiga orang tahanan (ketua samseng) itu tidak bersalah, kenapakah mereka tidak mengadu tentang tahanan yang tersilap selama tujuh hari itu dan menuntut gantirugi?
3. Kalau betullah itu satu kes penganiayaan yang mudah, kenapa pula Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Johari Baharom, yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis, bertegas agar BPR membuat siasatan terhadap dakwaan korupsi? Selewat 11 Julai, Johari telah dilaporkan sebagai pernah berkata bahawa dia tidak berpuas hati dengan beberapa penjelasan yang dibuat oleh polis, dan dia juga tidak menerima dokumen yang dimintanya, ekoran dakwaan korupsi di laman web
4. Kenapakah Peguam Negara tidak menyentuh tentang beberapa bentuk dakwaan yang sama penting dalam web terhadap Musa, seperti keintiman persahabatannya dengan raja samseng, yang namanya telah disebut dengan jelas sekali?
5. Peguam Negara telah berkata bahawa penyata akaun bank Musa dan hartanah beliau tidak menunjukkan apa-apa yang mencurigakan. Apakah itu modes operandi (cara kerja) siasatan dengan memeriksa penyata akaun bank dan hartanah. Apakah seseorang penjenyah membenarkan pendapatan haramnya diserlahkan dalam penyata akaun dan hartanah?
6. Kalaulah Musa tidak bersalah, apakah dia tidak mahu mempertahankan kehormatannya, pasukan polis dan negara dengan menuntut keadilan daripada para penuduhnya, lagi pun mereka semua telah membuat dakwaan yang begitu khusus?
KETUA PENGARAH BPR
Pada 26 Februari 2007,Laman web MalaysiaKini mendedahkan bahawa Ketua BPR Sabah yang baru bersara Ramli Manan telah membuat laporan rasuah pada Julai 2006 terhadap Ketua Pengarah BPR semasa itu, Zulkipli Mat Nor yang mempunyai kontrak kerja dijadualkan berakhir pada Mac 2007. Dalam laporan itu Ramli mendakwa BPR sudah pun tahu pada 1997 lagi bahawa Zulkipli telah menambun kekayaannya dan telah disiasat oleh polis kerana memperkosa seorang wanita ketika dia menjadi Ketua Polis di Johor. Antara kekayaan Zulkipli yang didakwa itu ialah beberapa rumah dan stesen minyak atas nama anak-anak dan adik perempuannya. Ramli berkata bahawa laporan yang salinannya dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam telah sengaja diabaikan oleh mereka.
Ekoran pendedahan MalaysiaKini kali ini, satu pasukan petugas khas yang dipimpin oleh polis telah ditubuhkan dengan segera untuk menyiasat dakwaan Ramli. Musa berkata pada April lalu bahawa polis sudah pun siap dengan siasatannya dan mengemukakan laporan kepada Peguam Negara.
. .
Setelah membisu lebih tiga bulan, secara tiba-tiba Peguam Negara membuat pengumuman pada 27 Julai bahawa Zulkipli telah didapati bebas daripada dakwaan Ramli, kerana semua dakwaan itu ternyata berbentuk tanggapan semata-mata yang tidak dapat disokong oleh Muhamad dengan dokumen sebagai bahan bukti. Lagi pun Mohamad tidak dapat mendedahkan nama pihak ketiga daripada mana beliau mendapat segala maklumatnya. Peguam Negara berkata semua temubual ke atas 43 orang saksi termasuklah Ramli telah diselesaikan dalam siasatan itu.
Soalan saya ialah:
1. Apakah menjadi amalan biasa untuk mengharapkan si talibarut mengemukakan bahan bukti yang jelas untuk pendakwaan? Bukankah itu tugas pihak agensi penguatkuasaan mencari bahan bukti itu kerana ia mempunyai segala kelengkapan dan kuasa perundangan serta sumber yang mencukupi untuk menghambat penjenyah?
2. Peguam Negara telah berkata bahawa siasatan terhadap salahlaku seksual Zulkipli telah dijalankan pada 1997 dan dirujukkan kepada pendakwa raya, dan telah diberikan takrif NFA tidak perlu diambil tindakan lagi) disebabkan kekurangan bahan bukti. Keterangan ini menampakkan ia bercanggah dengan laporan akhbar pada Mac 1 (Sin Chew) yang menyebut KPN Musa berkata bahawa polis pernah menjalankan siasatan pada 1997, tetapi setelah mengemukakan laporan kepada Peguam Negara untuk mendapat keputusan beliau sama ada perlu dimulakan dakwaan, polis tidak pun mendapat jawapan daripada Peguam Negara. Musa menambah bahawa polis baru sahaja mengemukakan satu laporan kepada Peguam Negara pada hari kelmarin, dan masih menunggu arahan Peguam Negara. Kenyataan Musa itu ternyata menunjukkan wujudnya bahan bukti yang mencukupi untuk menimbangkan dakwaan, yang mengikut dakwaan Peguam Negara tidak perlu (NFA) diadakan. Bolehkah Peguam Negara menjelaskan percanggahan ini?
3. Kalaulah dakwaan Ramli didapati sememangnya tidak berasas pada April (ataupun Mac) kenapakah Peguam Negara tidak mengumumkan keputusannya ketika itu juga, dan dengan itu menyelamatkan pentadbiran Abdullah daripada menanggung aib yang berterusan disebabkan serangan bertubi kali terhadap tiga skandal di peringkat tertinggi? Apakah pengumuman yang spontan merupakan pilihan tindakan yang terbaik oleh seorang Peguam Negara yang bersih dalam satu kerajaan yang bersih?
4. Kalaulah Zulkipli benar-benar tidak bersalah dan siasatan dilaksanakan secara telus, kenapakah kerajaan tidak mendakwa Ramli dengan segera kerana membuat tohmahan yang sungguh serius dan tidak berasas sebagai langkah menjaga imej dan nama baik kerajaan?
5. Begitulah juga, kenapakah Zulkipli tidak mengambil tindakan guaman dan tindakan tatatertib terhadap Ramli pada kali pertama dahulu sebagai mempertahankan dirinya dan juga keseluruhan organisasi beliau? Harus diingat, tuduhan Ramli telah dilakukannya pada Julai 2006 ketika dia bertugas di bawah Zulkipli, dan tuduhan itu telah tersebar kepada semua pihak termasuk Perdana Menteri.
6. Apakah kerajaan bersedia mendedahkan keseluruhan siasatannya untuk menepis segala keraguan disebabkan salah laku semacam itu melibatkan skandal tersebut?
TIMBALAN MENTERI KESELAMAAN DALAM NEGERI
Dakwaan ‘kebebasan untuk dijual’ terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Johari Baharom menjadi pengetahuan umum pada 3 Mac, 2007, ketika Star mengutip maklumat itu daripada satu laman web yang tidak dikenali bernama Freewebs.com. Laman web ini secara khususnya menuduh Johari berlaku kurang sopan membebaskan tiga orang ketua samseng yang mengendalikan sindiket pelacuran di beberapa tempat di merata negara, dan kerana itu Johari telah menerima sejumlah wang sogokan bernilai RM5.5 juta
Tiga orang ketua samseng haram itu yang namanya telah disebut, pernah ditangkap pada masa berbeza antara Oktober dan Disember 2006, dan dibebaskan pada Januari 2007. Ketua samseng yang pertama berasal daripada Sitiawan, Perak ,. Beliau merupakan adik kepada seorang Timbalan Menteri, yang namanya pun telah disebut, Ketua samseng yang kedua berasal dari Kota Kinabalu Sabah dan pembebasannya dilakukan setelah dia menyogok RM3 juta. Ketua samseng yang ketiga berasal daripada Chemor, Perak dan ditahan pada Oktober 2006 dan dikenakan tahanan terhad di Tampin, Negri Sembilan dan akhirnya dibebaskan pada pertengahan Januari, dengan ganjaran sogokan tidak kurang daripada RM2.5 juta.
Apabila meledaknya berita hangat pada 3 Mac, BPR telah dilaporkan memulakan satu siasatan, dengan bantuan polis yang membuat kepastian apakah tiga orang ketua samseng itu telah dibebaskan secara haram. Malahan ketika itu Musa telah membuat cadangan agar tahanan tersebut ditangkap semula selepas siasatan.
Pada 8 Mac, Star telah melaporkan betapa dua daripada tahanan itu telah ditangkap semula termasuk orang yang dikatakan adik kepada seorang Timbalan Menteri. Ketika itu polis telah berkata dengan penangkapan itu, mereka harus mampu melancarkan siasatan yang menyeluruh.
Pada 21 April, Pemangku Ketua Pengarah BPR Ahmad Said Hamdan, telah dipetik oleh MalaysiaKini sebagai berkata bahawa siasatan telah selesai sejurus Johari disoal siasat pada 19 Mac. Beliau berkata kertas siasatan sudah pun berada di tangan Peguam Negara..
Sejak itu tidak ada sebarang berita daripada Peguam Negara, sehinggalah 11 Julai, ketika beliau mengumumkan Johari tidak bersalah seperti yang didakwa, kerana BPR tidak mendapati sebarang kenyataan yang membabitkan Johari kepada kesalahan yang didakwa. Peguam Negara telah berkata betapa “si penjenayah yang tersebut telah menafikan pernah memberi Johari sebarang wang sogok dan dengan itu kenyataan akaun yang berkenaan telah pun diperiksa’ dan menambah betapa beberapa penjenayah yang merupakan saksi penting tidak dapat dikesan selepas mereka dibebaskan.
Kenapakah Peguam Negara mengambil masa terlalu lama untuk membuat rumusan itu? Peguam Negara menjawab: “siasatan BPR mengambil masa kerana penyata akaun terpaksa dianalisis dan kenyataan terpaksa daripada saksi yang relevan, dan menjejak saksi-saksi itu mengambil masa”. Alangkah besarnya pembohongan ini kerana Pemangku Ketua Pengarah BPR telah pun memperakui siasatan telah selesai selepas 19 Ma!.
Mengenai penafian para penjenayah dan kekurangan bahan bukti dalam penyata yang relevan itu, apakah anda harapkan pihak penjenayah mencatatkan berapa juta wang sogokan yang mereka berikan? Sebagai penguatkuasa undang-undang dan pencegah jenayah yang berpengalaman , pengakuan tentang ketidakcekapan seperti itu dan penafiannya adalah amat memalukan sekali. Tentulah Peguam Negara berfikiran bahawa orang ramai adalah si tolol kalau dia anggap pembohongannya itu akan diterima.
Kalaulah KPN Musa boleh memaksa orang yang bermartabat dan bermaruah menuduh seorang Timbalan Menteri yang tidak berdosa di mahkamah terbuka, saya tidak nampak kenapa dia tidak boleh memperolehi kenyataan yang benar daripada penjenayah dalam tahanannya. .
Bagaimana pula dengan penahanan, pembebasan dan penangkapan semula (dan kemungkinan juga pembebasan semula) ketua penjenayah itu semuanya? Siapakah yang bersalah, Johari ataupun polis? Apakah itu kes silap tahan ataupun silap pembebasan? Oleh kerana samseng yang ditahan itu adalah memang ketua samseng dan diperaku oleh polis, kenapakah mereka dibebaskan dengan mudah sahaja? Bukankah Ordinan Darurat diwujudkan khusus untuk menangkap mereka tanpa perbicaraan? Kenapa ditangkap golongan ikan bilis dan membebaskan golongan ikan jerung?
PEGUAM NEGARA
Para pemerhati politik tentu telah nampak kedudukan Peguam Negara yang perkasa kalau ia melibatkan pendakwaan penjenayah, kerana dia mempunyai pilihan di bawah Perlembagaan (Artikel 145 subklausa 3) untuk mendakwa ataupun tidak mana-mana kes jenayah ) kecuali kes Syariah dan mahkamah tentera). Kedudukan Peguam Negara yang memang perkasa itu telah diperhebat di zaman Mahathir ketika BPR dimestikan menyalurkan kes mereka kepada Peguam Negara untuk pendakwaan (termasuk kes polis). Ini merupakan langkah yang nyata bertujuan menjadikan Peguam Negara penapis paling akhir menyekat jerung besar daripada diperangkap oleh jaringan mahkamah. .
Jelas sekali tindakan tersebut adalah untuk memudahkan perkembangan kronisme dan korupsi di kalangan golongan elit UMNO di zaman Mahathir, dan ternyata bertujuan memudahkan kepimpinan Abdullah, dan kelangsungan keberkesanannya seperti yang ditunjukkan oleh tindakan Peguam Negara menutup dengan cepat segala kerja busuk pihak elit pemerintah.
Satu lagi pengamatan yang baik ialah mengenai siasatan jenayah ke atas golongan VIP yang mungkin memalukan pihak berkuasa, di mana agensi yang diberi tugasan menyiasat; sama ada polis ataupun BPR bertindak diam membisu sambil menyerahkan hasil kerja siasatan kepada pihak Peguam Negara yang memengapkan kertas siasatan itu tanpa tempoh masa tertentu hanya untuk menghidupkan kes itu semula bila perlu bagi faedah tetuan politik mereka ataupun apabila wujud alternatifnya. Dengan itu apabila membabitkan siasatan jenayah peringkat tinggi, BPR menjadi laluan selamat bagi agensi penguatkuasa undang-undang saperti polis dan BPR. . Sebaliknya mereka pula merupakan tempat perlindungan yang selamat kepada golongan elit yang korup di mana mereka membersihkan segala kain kotoran mereka. Mungkin juga bahagian yang paling mengecewakan dalam skandal Peguam Negara yang terkini ialah jawapan Perdana Menteri Paklah yang menyatakan kepuasannya kepada pengumuman Peguam Negara dan meminta segala isu membabitkan Musa dan Zulkipli digugurkan serta-merta disebabkan ketiadaan bahan bukti. Namun, apabila para wartawan membangkitkan persoalan tentang intipati laporan siasatan Paklah beliau menjawab dengan kasar: “Jangan tanya saya hal ehwal siasatan. Itu bukan kerja saya” (Sin Chew, Julai 29)
Wahai Perdana Menteri,. kalau itu bukan tugas anda, apakah sebenarnya tugas itu? Anda harus ingat, sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri, anda adalah pemimpin kabinet di mana semua skandal ini dilaporkan dengan jelas. Apakah anda tidak sedar bahawa wujud satu krisis keyakinan disebabkan skandal rasuah yang menjadi-jadi? Pembohongan yang dibuat oleh pengumuman Peguam Negara bukan sahaja gagal mengembalikan keyakinan tetapi sebaliknya menyebabkan teka-teki tentang kepimpinan anda? Sebagai Perdana Menteri, andalah dan bukannya KPN ataupun Ketua BPR yang bertanggungjawab kepada rakyat yang melantik anda. Dengan demikian, apalah sangat kalau wartawan bertanyakan anda perihal siasatan tersebut untuk mengelakkan ketidakpuasan di kalangan rakyat?
Sebagai Perdana Menteri anda telah menjawab persoalan yang kritis dengan jawapan “saya tidak tahu’ terlalu banyak kali. Janganlah pula jadikan jawapan “Ini bukan tugas saya” satu lagi tanda perniagaan kepimpinan anda.
Kim Quek.
0 Komen for this post