Bangsamoro di Sabah

By Unknown on Wednesday, March 06, 2013

Filed Under:

Sejarah telah menunjukkan sehingga 1878, Sabah adalah satu jajahan milik Kesultanan Brunei.
Ia bertukar tangan kepada Sultan Sulu setelah Sultan Brunei meminta pertolongan sepupunya Sultan Sulu untuk menyelamatkan istananya yang sedang dikepung oleh musuh.
Atas kejayaan sepupunya itu, Sultan Brunei telah menghadiahkan Sabah kepada Sultan Sulu. Tetapi Sultan Sulu telah bersetuju memberi ruang kepada sebuah Syarikat British Borneo milik kerajaan British untuk menyewa Sabah tanpa menyebut tarikh tamat tempohnya.
Ternyata Sultan Sulu tidak sebijak Maharajah China yang menyewa Hong Kong kepada British hanya untuk satu ratus tahun.

Apabila British memberikan kemerdekaan Sabah dan Sarawak kepada kerajaan Malaya pimpinan Tunku Abdul Rahman, sekali gus Sabah telah diserahkan juga kepada penubuhan Kerajaan Malaysia.

Kalau disorot undang-undang, peralihan Sabah ke tangan Malaysia boleh dianggap tidak sah, kerana sewa pajak Sabah oleh kerajaan British tidak menyebut dia boleh menyerahkan kuasa kepada pihak lain.

Mengikut Rumah Bicara Sulu, Sabah sepatutnya dipulangkan semula kepada mereka oleh British. Kerana itulah Presiden Macapagal (ayah kepada Presiden Gloria Arroyo Macapagal) telah mengambil kesempatan menuntut bumi Sabah sebagai milik kerajaan Filipina satu ketika dahulu.

Presiden Macapagal berbuat demikian kerana dia menyokong tuntutan warganya yang juga merupakan Bangsamoro di selatan Filipina. Sebagai seorang peguam, Presiden Macapagal faham dia mempunyai tuntutan yang sahih terhadap Sabah.

Akan tetapi semasa perundingan di Manila, Tunku sebagai seorang peguam juga telah mempertahankan hak Malaysia memiliki Sabah.

Beliau telah menyebut, semasa British berundur daripada bumi Sabah ketika diserang oleh Jepun, tidak ada seorang pun warga Kesultanan Sulu yang datang mempertahankan bumi Sabah. Sabah telah dipertahankan oleh askar British yang ketika itu dianggotai oleh warga British, Gurkha Nepal dan askar Melayu.

Dengan itu sebagai jalan pintas dan mudah, kita dapati Kerajaan Malaysia membayar pampasan berjumlah USD5,300  kepada istana Sulu melalui seorang peguam berbangsa Filipina yang mengeluarkan resit penerimaan wang itu.

Bagaimana Tunku mampu membayar pampasan sekecil itu menjadi tanda tanya kita. Ataupun adakah kemungkinan ada pampasan yang lebih besar dibayar kepada pihak lain yang ada kuasa menentukan perjanjian Makati Accord tersebut.

Akan tetapi, hingga ke hari ini Kesultanan Sulu dan Bangsamoro tidak mengikhtiraf bayaran itu sebagai satu pampasan. Mereka menganggap wang sejemput itu adalah bayaran sewa kerajaan Malaysia kepada Bangsamoro.

Kita boleh faham kenapa Bangsamoro tidak pertikaikan wang secopot itu sebagai harga sewa pajak bumi Sabah sedangkan untuk menyewa sebuah apartment mewah di Makati Square ataupun di sepanjang Roxas Boulevard, Manila mungkin harganya dua belas kali ganda daripada itu.

Jawapan kepada soalan cepu emas itu terletak kepada keadaan dalam negeri Bangsamoro itu sendiri.

Kepulauan Bangsamoro adalah merangkumi Kepulauan Palawan, Tawi-Tawi Basilan dan beberapa kepulauan kecil yang bersempadan dengan Indonesia. Rakyat negara itu semuanya bercakap Bahasa Melayu dan menganut agama Islam.

Malahan pada satu ketika dahulu, Kesultanan Sulu menjajah luas hingga ke kepulauan Mindanao yang kota rayanya bernama Manila. Mindanao dan kepulauan berdekatannya telah ditumpaskan oleh penjajah Sepanyol. Kejatuhan itu berlaku setelah Sultan Sulaiman berjaya dibunuh oleh Sepanyol.

Namun pada masa pemerintahan Sepanyol dan kemudiannya Amerika Syarikat itu, muncul seorang Dr. Melayu, Jose Rizal yang merupakan bapa kemerdekaan Filipina. Beliau meninggal dunia sekembalinya selepas mengerjakan rukun Haji di Makkah.

Assimilasi penjajah Sepanyol dan juga Amerika telah merobah Bahasa Melayu menjadi satu bahasa berbeza yang kini dipanggil Bahasa Tagalog. Namun terlalu banyak bahasa Melayu di dalamnya, seperti Ano, Apadia, Pangalan (panggilan/nama) mo (kamu).

Pengaruh Sepanyol telah menjadi agama Katholik menjadi pegangan orang Filipina di Kepulauan Mindanao. Kedatangan Amerika pula telah mencambahkan fahaman Kristian Presbyterian, Anglopayan, Methodist, Pentecostal dan lain-lain lagi.

Kalau Sepanyol menjadikan warga Filipina kuat beragama Katholik seperti Mexico, kehidupan mereka amat mundur ketika itu kerana kehidupan mereka banyak tertakluk kepada karenah penjajahan Sepanyol.

Semasa itu pemerintahan Sepanyol tidak stabil kerana asyik dengan ketaksuban mahu menguasai sepenuh bumi Filipina termasuk wilayah Bangsamoro.

Inilah sebabnya pemerintahan Filipina bertukar tangan kepada Amerika Syarikat yang akhirnya membangunkan Kepulauan Mindanao sebagai pangkalan tentera lautnya di Subic Bay dan pergunungan Bagio sebagai tempat istirahat keseluruhan anggota tentera Amerika selepas Perang Dunia Kedua.

Hingga ke hari ini Bagio menjadi pusat pelancongan, Kolej dan Universiti ketenteraan Filipina. Subic Bay yang sudah lama ditinggalkan oleh Amerika Syarikat kini dibuka semula untuk menempatkan tentera Amerika mengikut perjanjian yang baru.

Akan berkembang majulah nanti pusat Bandar Angeles City yang sudah sekian lama muram dan merudum bila ditinggalkan oleh Armada Laut Amerika.

Kalau kita sorot sejarah Bangsamoro, sepatutnya mereka boleh mendesak penilaian semula perjanjian Makati Accord memandangkan taraf hidup semasa. Kenapakah mereka tidak berbuat demikian?

Memang amat malang sekali Bangsamoro, tidak dapat memperjuangkan pampasan ataupun nilai sewa pajak lebih dari Lima Ribu Tiga Ratus Dollar Setahun. Kalau pembayaran itu dikira bermula 1964, hingga kini mereka baru menerima sebanyak 265,000 dollar sahaja.

Bayangkanlah kalau harga satu tong minyak bernilai 80 dollar secara purata satu tong, ini bersamaan dengan 33,125 tong minyak mentah sahaja, Tidak sampai pun jumlah dan hasil sedutan minyak dalam satu minggu di bumi Sabah.

Ini bererti kalau Bangsamoro merujukkan perkara ini ke mahkamah antarabangsa di Den Hague, mereka PASTI DAPAT keadilan yang lebih baik. Kenapakah ini tidak berlaku?

Sejurus Macapagal Berjaya memperjuangkan masalah Bangsamoro dia telah dikalahkan dalam pilihan raya oleh seorang peguam bernama Ferdinand Marcos. Beliau telah memerintah lama di Filipina dan semasa pemerintahannya Bangsamoro telah tertekan dan sentiasa berang dengan kerajaan pusat.

Ferdinand Marcos adalah daripada wilayah Ilocos Norte, daripada kaum Ilocos. Beliau adalah sama kaum dengan seorang kawan baiknya di University of Philippines bernama Aquino yang kemudian terbunuh sekembalinya daripada pembuangan di Amerika.

Marcos datang daripada keluarga menengah. Sedangkan sahabat baiknya adalah daripada keluarga hartawan. Sudah menjadi amalan mereka apabila pulang daripada kelas di universiti, mereka berdua akan menunggu kedatangan jip pengangkutan di Manila di satu persimpangan jalan. Di sana Aquino akan mengutip sebahagian wang tambang Jipney ayahnya dan member sumbangan kepada Ferdinand Marcos.

Apabila Ferdinand Marcos berkuasa, dia membazirkan banyak wang untuk memerangi Bangsamoro kerana mahu memerintah Kepulauan Tawi-tawi, Basilan, Palawan dan keseluruhan tanah air Bangsamoro.

Sikapnya itu telah ditentang oleh sahabat baiknya Aquino menyebabkan Marcos memenjarakan sahabat baiknya itu sehingga membenarkan beliau hidup melawat di luar Negara.

Pada akhir-akhir pemerintahannya, Aquino telah dibenarkan pulang untuk bertanding melawan Marcos sebagai Presiden Filipina.

Sikap memerintah dengan kuku besi itu telah melahirkan beberapa pertubuhan pejuang Bangsamoro yang dikepalai oleh Nur Miswari. Kini Nur Miswari sudah tua dan peranannya dimainkan oleh pemimpin muda yang berpelajaran tinggi. Mereka masih menyanjungi Nur Misuari dan juga isterinya yang merupakan adik kepada sultan Kiram, bernama Dr. Fatima Kiram.

Pembunuhan Aquino ketika menuruni pesawat dari Amerika telah menaikkan kemarahan rakyat yang mengadakan tunjuk perasaan seluruh Manila hingga menyebabkan Marcos bersama isterinya Imelda lari lintang-pukang ke Hawaii. Di sanalah Marcos menghabiskan sisa-sisa hidupnya sehingga mati dan dibawa balik untuk ditanam di negara kelahirannya.

Kematian Marcos telah membuka ruang untuk diadakan pilihan raya umum dan ini membolehkan rakyat melantik balu Aquino bernama Corazon (Cory) Aquino naik menjadi Presiden. Bermula daripada itu, MNLF (Moro National Liberation Front) bergerak cergas memperjuangkan kemerdekaan daripada kerajaan pusat yang beragama Katholik.

Perjuangan Nur Misuari dan Bangsamoro, terus berdepan dengan beberapa Presiden yang muncul silih berganti. Cory Aquino tidak mahu bertanding semula selepas lima tahun memerintah. Tempatnya diganti oleh General Fidel Ramos. Inilah Presiden yang bertanggungjawab untuk berdamai dengan Bangsamoro.

Sebelum menjadi Presiden baru, beliau merupakan Ketua Turus Angkatan Tentera Filipina. Fidel Ramos kemudiannya digantikan oleh Estrada, seorang pelakon filem yang paling terkenal di Filipina. Joseph Ejercito Estrada tidak dapat melanjutkan pemerintahannya ke penggal kedua kerana menghadapi tuduhan rasuah. Tempatnya digantikan oleh Arroyo Macapagal.

Kini Filipina ditadbir kerajaan pimpinan Benigno Aquino III. Beliau disenangi oleh Bangsamoro. Cuma pada kali ini, dia tersepit antara mahu terus berbaik dengan kerajaan Malaysia dengan desakan Bangsamoro untuk campur tangan dalam usaha Bangsamoro menuntut bumi Sabah.

Pada 3 Mac 2013 yang lalu, lima lagi anggota polis telah ditembak mati oleh penceroboh bersenjata. Kematian tidak berlaku di Lahad Datu, tetapi di kampung air di Pulau Semporna. Ini bererti sama ada tentera Bangsamoro sudah menyelinap masuk ke pulau Semporna ataupun yang di Lahad Datu dapat menyelinap keluar dan pergi ke Semporna.

Wakil rakyat Parlimen Semporna, Datuk Shafie Afdal nampaknya masih tidak dapat menerima bahawa kemasukan penceroboh bersenjata di bumi Sabah adalah satu serangan bersenjata oleh askar asing. Dia seolah-olah menerima sikap Najib pada tahap awal bahawa askar itu semuanya diberi ruang untuk berundur secara aman.

Mungkin kerana itu Shafie juga telah memberikan nasihat yang salah kepada Perdana menterinya. Itu sebabnya pihak PDRM diberikan kuasa menangani masalah pencerobohan itu lebih dua minggu yang lalu.

Para pembaca pasti dapat mengingati kisah Al Maunah di Jenalik Hilir satu ketika dahulu. Inilah kumpulan yang diberi nama Al Maunah oleh TKT Mahathir. Mereka dikatakan berkubu di atas sebuah bukit kecil di belakang rumah Chegu (Bersara) Osman, kalau saya tidak silap namanya.

Inilah kumpulan yang muncul pada hari Majlis Raja-raja bersidang untuk menimbangkan permohonan Mahathir agar meluluskan satu permohonannya semua parti politik tidak boleh menggunakan perkataan Islam dalam nama-parti. Jelas, TKT mahu PAS dipaksa merobah namanya. Mujur juga Majlis Raja-raja menolak permintaannya itu.

Apa jadi kepada Al Maunah yang dikatakan oleh Mahathir telah berjaya berkubu di atas bukit itu setelah merompak senjata daripada sebuah kem tentera di Banding. Beliau menyebut serpihan askar itu telah berjaya pergi ke Kuala Lumpur dan melepaskan beberapa roket ke arah kuil Hindu di Kuala Lumpur. Ternyata bahawa TKT telah membuat fitnah yang besar, kerana tidak ada sebuah pun kuil Hindu di KL yang musnah.

Akan tetapi dalam masa tiga hari Al Maunah telah tumpas kerana mereka telah ditentang oleh ATM dan bukannya PDRM. Pihak Polis hanya mengadakan sekatan jalan. Yang anehnya, anggota Al Maunah itu sanggup menyerah diri setelah didendangkan dengan lagu IBU (nyanyian P. Ramlee).

Jikalau kita sorot kisah Al Maunah dahulu, pelbagai propaganda telah disiarkan oleh akhbar UMNO. Ada yang menulis bahawa Bukit Jenalik itu mempunyai terowong bawah tanah yang membolehkan mereka lari ke Thailand.

Malahan ditunjukkan juga kisah mata-mata gelap (detektif) yang disiksa oleh Al Maunah sehingga tangannya pecah-pecah. Cuma semasa gambar beliau disiarkan berada di hospital, tidak pun ada tapak tangannya yang berbalut.

Dalam Berita Perdana 03.03.2013 ada disebut oleh Najib betapa Presiden Aquino telah merasa malu (embarrassed) dengan perbuatan Sultan Sulu. Sepatutnya yang harus berasa malu ialah Najib dan UMNO. Dia harus merasa malu kerana tidak cekap menangani keadaan.

Kenapa tidak dibawa asset berharga ATM untuk mengepung kawasan persembunyian Lahad Datu sambil menggugurkan risalah meminta askar Suluk itu menyerah diri.

Kenapa tidak digunakan pembesar suara menggunakan suara orang Sulu meminta askar-askar itu keluar berdamai? Kenapa tidak dijemput orang Sulu terutama sekali seorang warga Sulu yang menuntut hak kerajaan Sulu bernama Dato Rajak Aliuddin. Sedangkan kehadiran beliau menuntut istana Sulu itu sudah lama diketahui oleh kerajaan Malaysia?

Dalam Berita Perdana malam tadi ada disebut bagaimana risikan tentera Filipina menyebut kemungkinan askar Sulu itu bersekongkol dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk datang buat kacau menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Soalnya, samasa TV Filipina mengemukakan soal pembabitan parti pembangkang terutama Anwar Ibrahim dengan askar Sulu itu. Jawapan beliau ialah tidak mungkin kerana dia berpendapat kekecohan yang berlaku ini ada kena mengena dengan UMNO juga.

Nampaknya ada kemungkinan besar betapa askar bersenjata Sulu ini datang bertandang ke Sabah dengan membawa muslihat besar untuk mempengaruhi puak-puak yang akan bertanding dalam PRU-13 nanti.

Soalnya sekarang apakah pilihan raya akan diadakan sebelum 28 April ataupun dibiarkan sahaja hingga tamat tempoh kuasa kerajaan yang sedia ada untuk membolehkan pilihan raya diadakan pada Jun nanti?
- marhaintua - 6.3.2013

 http://blog.marhaen.info/laman-utama/1-artikelmarhaen/2758-mt-ybb-2-bangsamoro-di-sabah

0 Komen for this post