Bilik gerakan KeADILan diarah tutup, pegawai kerajaan diugut
By Unknown on Saturday, April 21, 2007
Filed Under:
IJOK, 21 April (Hrkh) - Kempen pilihan raya Dun Ijok bertambah panas apabila petugas-petugas KeADILan sentiasa menerima tekanan hebat daripada pihak berkuasa selain provokasi daripada petugas BN/Umno.
AJK KeADILan Kawasan Ijok, Azmi melaporkan, tiga orang pemuda Melayu yang menaiki kereta BMW hitam berhenti di jalan besar Kampung Jaya Setia dan memotong semua bendera keADILan yang ada di sepanjang jalan itu.
"Kejadian memotong dan menggunting bendera KeADILan itu berlaku sekitar jam 11.30 pagi tadi," katanya.
Beliau telah membuat laporan Polis di balai Polis Batang Berjuntai berhubung tindakan ganas yang ternyata melanggar peraturan kempen pilihan raya.
Selain itu katanya, pemilik tanah yang membenarkan KeADILan membuka bilik gerakan di kampung Jaya Setia turut diugut oleh pihak berkuasa supaya menutup bilik gerakan tersebut.
Tambah beliau, anak kepada pemilik tanah itu yang bekerja di Jabatan Kerajaan Shah Alam diugut akan ditukarkan ke Sarawak jika pihak KeADILan masih dibenarkan membuka bilik gerakannya di situ.
"Pagi tadi anak kepada pemilik tanah itu menghubungi saya dan berharap bilik gerakan KeADILan ditutup jika tidak beliau akan ditukarkan ke Sarawak," katanya.
Dalam pada itu, Azmi turut kesal dengan sikap pemuda Umno yang didakwa dari Puchong sengaja menimbulkan pergaduhan dengan petugas KeADILan melalui provokasi ganas.
Menurut beliau, amalan biasa dalam waktu berkempen pimpinan Umno sanggup memberi upah pelajar sekolah antara tingkatan satu hingga dua untuk memasang bendera BN dan gambar calon di sepanjang kampung itu. - mns
0 Komen for this post