“Apa perasaan Najib, jika Isterinya jatuh Helikopter Nuri” - Salahuddin
By Unknown on Wednesday, July 18, 2007
Filed Under:
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyatakan, beliau amat marah dengan kenyataan Najib yang menyatakan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bukan dalam tempoh terdekat ini.
Salahuddin mempersoalkan, nahas demi nahas yang melibatkan Nuri bukan sahaja menyebabkan rakyat negara merasa amat malu, malah berada dalam ketakutan kerana tidak merasa yakin dengan tahap kemampuan pertahanan negara.
“Apa perasaan Najib, jika isterinya jatuh Helikopter Nuri,” kata Salahuddin ketka dihubungi.
“Sepatutnya kerajaan serta menteri yang bertanggungjawablah merasa malu dan takut serta bertindak habis-habisan untuk melengkap serta mengemaskinikan peralatan serta kemampuan pertahanan negara.
“Tetapi, apabila menteri berkenaan sendiri menyatakan helikopter yang banyak memakan korban itu masih boleh digunakan, saya tidak yakin beliau mempunyai perasaan,” katanya.
“Apa maksud Najib bila beliau mendakwa Nuri masih boleh digunakan? Nak tunggu berapa orang terkorban? Atau nak tunggu sehingga (Datin Seri) Rosmah (Mansor) terlibat dalam kemalangan ketika menaiki Nuri baru hendak menggantikan helikopter pemangsa itu?” katanya.
Beliau seterusnya mempersoalkan, berapa banyakkah wang negara yang terpaksa dihabiskan “tak fasal-fasal” setiap kali Nuri terhempas?
“Setiap kali Nuri terhempas atau terlibat dengan kemalangan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memakan belanja, menteri nak pergi jenguk tempat kemalangan lagi banyak memakan belanja malah kalau nak disenaraikan satu-satu terlalu banyak,” katanya.
Salahuddin menyeru Najib supaya menghentikan tindakan membazirkan wang negara akibat menggunakan helikopter pembunuh itu dan lebih dari itu, “hentikanlah kenyataan-kenyataan” yang menyakitkan hati rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan memang mempunyai rancangan untuk menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bagaimanapun bukan dalam tempoh terdekat ini.
Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata ini kerana helikopter jenis itu masih boleh digunakan.
“Ada (rancangan untuk menggantikan helikopter itu), tapi tidak serta merta sebab helikopter itu masih boleh digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kompleks Sukan Muadzam Shah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian sebuah helikopter Nuri TUDM yang membawa enam pegawai dan anggota TUDM yang dilaporkan hilang semalam semasa dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Kuantan.
TERKINI, Bernama melaporkan, operasi SAR untuk mengesan helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang telah memasuki hari keempat hari ini.
Kesemua enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam nahas helikopter Nuri apabila pasukan mencari dan menyelamat menemui bangkai pesawat itu berhampiran Genting Sempah dekat sini hari ini.
Pengawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Zulkiflee Abdul Latiff berkata dalam satu kenyataan bangkai pesawat itu ditemui anggota pasukan melalui gerakan darat di sebuah lokasi 5km Barat Laut dari Genting Sempah pada pukul 1.24 petang.
Difahamkan kesemua mayat telah dikeluarkan daripada bangkai pesawat itu dan sedang diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Waris dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai berita buruk itu dan mereka kini sedang menunggu ketibaan jenazah di HKL
0 Komen for this post