Terbukti Umno pindah pengundi, bila bantahan PAS diterima

By Unknown on Wednesday, July 18, 2007

Filed Under:

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Ya, ya. Okey. Saya hendak tarik perhatian oleh kerana terlalu sedikit perkara ini dirombak atau dipinda sepatutnya lebih banyak lagi kerana hasrat Pengerusi SPR sendiri pun memang sepatutnya dirombak di beberapa tempat lain.

Walau bagaimanapun oleh sebab pihak kerajaan merasakan memadailah ditokok tambah maka tidak apalah, saya bahas hal-hal ini.

Pertama, saya tidak percaya dengan penambahan pegawai ini walaupun saya setuju, gerak daftar pemilih secara gerak gempur khususnya tidak akan berjaya juga kerana saya yakin, saya percaya perkara ini berlaku kerana pemuda-pemuda atau pun mereka-mereka yang berumur 21 tahun ke atas ini sudah tidak percaya lagi kepada demokrasi yang ada di Malaysia ini. Kalau mereka daftar sekali pun sudah tentu berlaku penipuan seperti mana penipuan yang berlaku di beberapa pilihan raya yang lalu.

Sebab itu anak-anak muda kita tidak berminat untuk mendaftarkan diri walaupun pihak SPR telah berusaha bermacam-macam-macam cara untuk mendapatkan pendaftaran pengundi baru ini tetapi usaha ini gagal kerana saya katakan tadi ialah pengundi-pengundi itu sendiri atau baka
pengundi itu sendiri telah hilang keyakinan kepada kerajaan khususnya kepada SPR ini.

Saya minta supaya kerajaan juga melihat bagaimana cara kita hendak mengendalikan mereka-mereka yang telah pun mendaftar tetapi diberi peluang untuk tuntutan dan bantahan itu terlalu pendek masanya.

Masa hanya diberi seminggu sahaja. Sepatutnya masa tuntutan bantahan ini diberi panjang sedikit untuk memberi peluang kepada mereka yang akan memerhatikan, takut-takut berlaku pengundi-pengundi yang diimport dari tempat lain ke tempat yang lain.

Sekarang ini, musim ini ialah musim perbicaraan. Hak yang kita daftar baru-baru ini. Contohnya di Kelantan, UMNO memang tidak banyak membuat bantahan tuntutan ini kerana mereka yakin dan percaya PAS tidak ada mengimport pengundi-pengundi baru dari tempat lain tetapi PAS sendiri di Kelantan sekarang ini telah buat tuntutan bantahan dalam perbicaraan sekarang ini dan sudah lebih daripada 1,000 orang yang kita bantah dalam perbicaraan dan sudah lebih daripada 90% apa yang kita bantah itu dimenangi oleh pihak PAS kerana PAS bantah perkara yang betul-betul berlaku di mana UMNO cuba memindahkan pengundi-pengundi daripada kawasan lain ke kawasan yang mereka ingin tawan.

Apa yang mereka sebut baru-baru ini mengatakan bahawa pihak PAS akan memindah pengundi, rupa-rupanya tidak ada satu pun pemindahan berlaku, sebab itulah mereka tidak membantah pengundi-pengundi yang didaftar oleh PAS di Kelantan ini.

Saya cadangkan supaya meringankan lagi beban SPR ini daripada melantik pegawai sebagai pegawai pendaftaran, lebih baik menerima cadangan oleh sahabat-sahabat saya yang dahulu daripada ini dalam Parlimen ini supaya berlaku pendaftaran secara automatik kepada mereka yang sudah cukup umur 21 tahun, tetapi nampaknya pihak kerajaan masih lagi berdegil dan tidak mahu menerima cadangan ini walaupun mereka ini yakin apa yang diusahakan selama ini ialah tidak berjaya untuk mendaftar lebih ramai lagi pengundi-pengundi yang tidak mendaftar walaupun mereka sudah cukup umur.

Seperti mana yang disebutkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya baru-baru ini, masih ada 2.1 juta tidak mendaftar yang sepatutnya mereka ini telah pun boleh mengundi di masa hadapan ini.

Adakah dengan penambahan pegawai dan kakitangan ini, mereka yakin akan dapat mendaftarkan semua pengundi ataupun remaja kita yang telah cukup umur 21 tahun dalam masa yang singkat ini dan saya yakin pada diri saya sendiri kalau…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat boleh gulung.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Sudah boleh gulung?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ya.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Cepatnya. Tidak sempat hendak hentam ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ya. Tidak payah hentam. Mengapa hendak hentam? Yang Berhormat hendak berucap atau hendak…

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Tidak senang kalau tidak boleh hentam UMNO. Kalau mari sini tidak boleh hentam, tidak senang. Rakyat saya…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ini bukan mesyuarat PAS, bukan
mesyuarat UMNO. [Tepuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Kalau tidak di Parlimen, di luar pun saya hentam.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat kalau hendak hentam boleh keluar.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Di luar saya sudah hentam tetapi dalam ini pun saya hendak hentam juga kalau boleh.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Baiklah, cukup, cukup.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Walau bagaimanapun saya berterima kasih banyak. Sekian, terima kasih.
—————-
Ucapan pada 10 Julai 2007 membahaskan Rang Undang-Undang PILIHAN RAYA (PINDAAN) 2007

0 Komen for this post