Husam minta Perdana Menteri Pecat KPN
By Unknown on Thursday, July 12, 2007
Filed Under:
Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan kerana dakwaan terbabit dalam isu menjejaskan keselamatan negara, amat serius.
Dalam suratnya kepada Abdullah, Husam bimbang Abdullah tidak mempunyai sistem penapisan yang baik dan menambahpincang negara dengan menyambung kontrak Musa baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri di bawah pimpinan Abdullah sebagai Menteri, membuat laporan BPR ke atas KPN adalah suatu tindakan yang serius dan boleh dianggap hilang kepercayaan terhadap KPN.
Tambahan pula baru-baru ini rakyat dikejutkan dengan perbalahan antara KPN dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Johari Baharom, namun sebagai Menteri yang bertanggungjawab, Abdullah terus mendiamkan diri.
Di Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum memberitahu Dewan kes rasuah Ketua Polis Negara telah dirujuk kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Menjawab gesaan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mengenai dakwaan kes rasuah melibatkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Mohd Johari berkata pihaknya telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Perkara ini di bawah Ordinan Pencegahan dan saya telah berhubung dengan pihak Bukit Aman untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.
Musa dikatakan terbabit menerima suapan sebanyak RM2.1 juta bagi melepaskan sekumpulan gengster.
Husam di dalam portalnya mendakwa PM melakukan kesilapan kerana tidak memecat Johari, bahkan sekaligus menyambung kontrak Musa.
“Ia bukan lagi maruah Musa Hasan atau Johari. Ia maruah Abdullah dan kerajaan BN seluruhnya. Isu ini adalah satu krisis dan memerlukan sama ada Musa atau Johari dipecat atau meletakkan jawatan,” ujarnya lagi.
Husam berpendapat bahawa apa yang berlaku antara dua orang kanan Abdullah itu telah menyebabkan kredibiliti Abdullah semakin runtuh hari demi hari.
0 Komen for this post