Kenyataan Media PKR : Musa Hassan Wajib Digantung Perkhidmatan
By Unknown on Thursday, July 12, 2007
Filed Under:
Kenyataan Media
Musa Hassan Wajib Digantung Perkhidmatan
11 Julai 2007
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat respon terkini Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum di Parlimen mengenai laporan daripada kementeriannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai tuduhan korupsi ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan adalah sesuatu yang amat serius dan memerlukan tindakbalas segera.
Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti menggantung Musa daripada terus berkhidmat sehinggalah tuduhan ke atas beliau mendapat klarifikasi yang sahih daripada BPR. Malah, wujud keperluan segera agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat salah laku ke atas Ketua Polis Negara ini yang dibahunya terpikul amanah keselamatan negara.
AMK melihat bahawa tidak ada sebab yang munasabah untuk Musa tidak dilucutkan jawatannya, memandangkan Dato' Seri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu juga dihukum dan dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri di saat beliau belum terbukti bersalah. Sekiranya kerajaan konsisten dan telus, maka pendekatan yang sama wajar diambil ke atas Musa, dengan menggantung jawatannya.
Membenarkan Musa terus berkhidmat memberikan implikasi yang amat serius dan negatif kepada keselamatan negara dalam keadaan wujud kebarangkalian beliau terlibat dengan jenayah dan kongsi gelap, yang menjadi akar umbi kepada permasalahan jenayah negara. Selagi beliau tidak disahkan bersih, selagi itu beliau mesti digantung daripada perkhidmatannya.
AMK merancang untuk mengemukakan Memorandum ke atas Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menyatakan kegusaran rakyat dan keperluan sebuah Suruhanjaya DiRaja di bawah bidang kuasa Yang DiPertuan Agong ditubuhkan pada kadar segera.AMK akan mengikuti perkembangan tindakan kerajaan demi menjadi keadilan, ketelusan dan kredibiliti kerajaan di dalam menjunjung amanah rakyat.
Rakyat kian bimbang dengan kenaikan kadar jenayah yang semakin tidak terkawal, dan demi membuktikan Abdullah bukan pemimpin yang lemah, maka beliau perlu menggantung tugas Musa dan kembali memperbetulkan keadaan agar rakyat tidak tertekan lagi.
Fariz Musa
Timbalan Ketua
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
No 110-3, Jln Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
Laman Web Rasmi: http://amk.keadilanrakyat.org
Emel: penerangan.amk@gmail.com
0 Komen for this post