Malaysia Today cecah 5 juta hits, terima kasih Umno ucap Raja Petra

By Unknown on Friday, July 27, 2007

Filed Under:

Gara-gara Umno membuat laporan polis terhadap Malaysia Today, laman ini menerima 5 juta hits, sejak 2 hari lalu.

Justeru, secara sinis editornya Raja Petra Kamarudin, mengucapkan 'terima kasih' kepada parti itu.

'Terima kasih juga diucapkan kepada parti pemerintah Umno, sebelum ini kita hanya menerima sedikit iaitu 2.2 hingga 2.4 juta hits, sekarang telah mencecah 5 juta hits ekoran laporan polis oleh Umno.

"Jika sebelum ini ia bukan web paling terkenal, sekarang ia telah menjadi terkenal atas sumbangan kebaikan Umno," jelasnya kepada wartawan BBC di balai polis Dang Wangi Jalan Tun HS Lee, pagi semalam.

Tengah hari Isnin lalu, selepas Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhamad Muhammad Taib, membuat laporan polis, Malaysia Today tidak boleh dilayari sehingga petang, kerana servernya tidak dapat menampung peningkatan pengunjung terlalu ramai secara mendadak.

Sementara itu, Petra yang memberi keterangan kepada pihak polis bermula jam 11.30 pagi semalam, dilihat berjalan keluar dari balai berkenaan dengan senyum lebar kira-kira jam 7.30 petang.

Dilaporkan dia telah mencium pipi isterinya Marina Lee Abdullah, 51 yang setia menunggu suami tersayang sebaik melangkah keluar dari balai berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi soal jawab dengan polis, Petra berkata bahawa dia telah ditanya tentang identiti pembaca Malaysia Today yang didakwa memberi komen menghasut.

Menurut Petra, dia juga telah ditunjukkan senarai lengkap 12 komen pembaca tersebut seperti mana dalam laporan polis oleh Umno.

Bagaimanapun, jelas Petra, dia enggan mengulas kepada pihak polis tentang komen-komen pembaca Malaysia Today.

"Saya enggan bercakap tentang komen-komen oleh pembaca-pembaca saya di Malaysia Today kerana saya tidak bertanggungjawab terhadap perkara tu," jelasnya.

Dilaporkan berpuluh-puluh aktivis dan pemimpin pembangkang, termasuk Naib Presiden PAS Husan Musa, Ketua Penerangan Keadilan Tian Chua, Ketua Penerangan DAP Ronnie Liu dan para wartawan berada di balai polis berkenaan.

Difahamkan sebelum ke balai polis Petra telah membawa bersamanya senaskah kitab terjemahan Al-Quran dan salasilah keturunan keluarganya.

Salasilah tersebut bagi membuktikan dia tidak sesekali bertujuan menghina Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, kerana beliau sendiri datangnya dari keturunan berdarah raja, khususnya dari Selangor.

Sementara, terjemahan Al Quran akan dijadikan rujukan sekiranya dia dituduh menghina Islam, dan akan bertanya pihak polis, pada ayat mana kesalahan yang dilakukannya.

Untuk mendapat ulasan menarik tentang soal jawabnya dengan pihak polis, dan beberapa perkara berkaitan, kita nantikan kemunculan tulisan terbaru Petra di Malaysia Today.

0 Komen for this post