Polis Tidak Akan Tangkap Raja Petra

By Unknown on Thursday, July 26, 2007

Filed Under:

Raja Petra Kamarudin, pengendali laman web Malaysia-Today telah berada DI Balai Polis Dang Wangi sejak jam sebelas pagi tadi. Ketika artikel ini ditulis dia dikatakan masih lagi berada di sana. Apa yang dibuatnya kita tidak tahu. Apa yang dilakukan oleh polis ke atasnya, kita tidak juga akan tahu buat masa terdekat ini.

Kononnya, soal-siast yang sedang dihadapi oleh Raja Petra di Dang Wangi adalah atas laporan polis yang dibuat oleh mantan Menteri Besar Selangor Muhamad Muhamad Taib yang juga merupakan seorang senator dan Ketua Penerangan UMNO.

Berbisa sungguh pengaruh dan kuasa Muhamad Taib atau lebih dikenali sebagai Mat Tyson sehinggakan selepas Raja Petra pergi mengadap polis dia buat satu laporan polis lagi terhadap Raja Petra berasaskan satu artikel terbaru Raja Petra berjudul “See You In Hell Muhamad son of Muhamad" (Berjumpa Kita Di Gerbang Neraka Hai Muhamad Bin Muhamad).

Mungkin pada ketika ini Muhamad Tyson begitu ceria dan gelak ketawa kerana melihatkan polis bertindak cepat terhadap Raja Petra. Tetapi dia tidak tahu apa yang akan mengenanya, satu hari nanti.

Saya percaya tulisan Raja Petra mengenai Mat Tyson belum selesai, kerana masih ada kisah lain yang dilakukan oleh Mat Tyson semasa dia menjadi Menteri Besar Selangor yang belum diketahui umum. Malahan kisah dia membayar wang pampasan sebanyak RM6 juta kepada penculik anak lelakinya, masih belum diketahui umum dengan jelas sejelas-jelasnya.

Saya masih teringat perbualan saya dengan mendiang M.G.G. Pillai pada satu hari beberapa bulan sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia merasa sedih perihal peranan pemimpin UMNO yang semakin curang terhadap bangsa sendiri khususnya dan rakyat Malaysia ini umumnya.

Mendiang MGG Pillai ada bertanya pada saya apakah kemungkinan negara ini diperintah oleh pentadbiran tentera? “Why not?” (kenapa tidak) jawab saya. “Susah sikit!” kata MGG Pillai. “Kerana askar Melayu zaman ini bukanlah sama dengan askar Melayu di zaman Jepun dahulu!!”

“Tidak..” jawab saya. “Cuma musuh itu sudah berubah dan amat berbeza.”

MGG Pillai bersetuju dengan pendapat saya bahawa askar Melayu di zaman Jepun dahulu (Perang Dunia Kedua) adalah anak-anak Melayu kampung yang ada semangat mempertahankan negara dan raja-raja yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Sedangkan askar Melayu di zaman moden ini katanya adalah anak-Melayu yang bukan semuanya daripada desa. “Ada anak Melayu yang tidak pernah melihat itik dan ayam kampung” katanya.

“Jadi nampaknya” tanya saya lagi, “kemajuan pentadbiran Malaysia ini akan melalui proses evolusi dan bukannya revolusi?”

Ekoran perbualan saya yang memakan masa satu hari dengan mendiang MGG Pillai, saya telah bertanya kepada kawan-kawan lama dalam angkatan tentera dan polis apakah kemungkinan Malaysia diambil-alih oleh tentera, satu hari nanti? Jawapan yang saya terima adalah bercampur-campur dan hasilnya seri. Ada yang berkata serba mungkin sementara yang separuh mengatakan “Tidak mungkin!.”

Kesan perbincangan yang lama dengan kawan-kawan dan orang-orang yang berpengalaman itu, saya ada menulis beberapa artikel dengan menyelitkan pandangan mereka mengenai keadaan negara di bawah UMNO.

Rumusannya ialah:

1. Negara ini tidak akan bertukar pemerintahannya selagi orang Melayu tidak bangkit dan bertindak.

2. Orang Melayu sudah lali dengan karenah UMNO sehinggakan apa juga tohmahan dan tuduhan yang berasas dibuat orang terhadap UMNO mereka sanggup memaafkannya.

3. Orang Melayu akan menunjukkan amarah terhadap MIC dan MCA ataupun Gerakan ataupun parti komponen BN yang lain, tetapi amarah mereka itu akan reda apabila UMNO bangun cuba mempertahankan akan komponen gagasan BN itu. Sebagai contoh ialah ketika MIC memasang kain rentang mengutip kata-kata Samy Vellu yang menyebut: “Apakah Quran boleh bikin jambatan?” Orang Melayu Port Dickson naik marah tetapi, kerana pujukan UMNO mereka akur dan berlembut. Akhirnya Roslan Kasism tumpas oleh undi pos dan tentera.

4. Orang Melayu seakan-akan menjadi terpukau dengan dakyah UMNO sehingga sanggup merelakan diri mereka ditipu. Sebagai contoh, ramai pemimpin UMNO kali ini sepatutnya kalah dalam pilihan raya umum yang lalu (1999 dan 2004). Mereka telah kalah undi tetapi diselamatkan oleh peti undi tentera dan pos. Adakah munasabah di zaman tidak lagi ada darurat dan komunis anggota tentera tidak boleh membuang undi di khalayak ramai seperti orang biasa?

5. Orang Melayu mudah terpesona dengan cakap-cakap dan lagak pihak pembangkang yang menentang UMNO tetapi mereka tidak sedar orang semacam itu adalah berkemungkinan besar proksi UMNO dalam parti pembangkang. Sebagai contoh; dalam pilihan raya yang lalu Chandra Muzaffar dan Ezam Mohd Nor mempunyai segala bukti untuk membawa perhatian mahkamah kisah kertas undi yang melambak ditemui di luar stesen membuang undi. Adakah mereka bertindak meminta mahkamah membatalkan kemenangan lawan mereka dalam pilihan raya itu?

6. Kebangkitan rakyat membenci parti pemerintah naik semerbak apabila Anwar Ibrahim disumbat dalam penjara. Semangat benci rakyat terhadap kerajaan pimpinan UMNO naik membuak sehingga berlaku pelbagai bentuk rusuhan orang menunjuk perasaan di jalanan. Sedarkah rakyat bahawa sebahagian besar rusuhan itu adalah lakonan pihak polis?

7. Rusuhan pro-Anwar Ibrahim telah mengakibatkan ramai anak muda berpelajaran di Malaysia ini yang kehilangan pekerjaan, tempat di pusat pengajian tinggi dan ada yang sudah berumah tangga turut kehilangan pekerjaan mereka. Hingga hari ini masih ada pro-Anwaris yang menganggur kerana tidak mendapat pekerjaan.

Semasa Anwar masih dalam penjara dan sekali-sekala dibawa ke hospital, mereka masih setia menunggu di luar hospital untuk melihatkan kelibat Anwar seperti mana mereka setia menunggu di luar mahkamah setiap kali perbicaraan Anwar diadakan.

Demikianlah berterusan kesetiaan mereka sehinggalah Anwar dibebaskan oleh mahkamah di Putrajaya. Apa jadi kepada mereka sekarang? Ramai yang ‘mendewa-dewakan‘ Anwar satu ketika dahulu sudah berundur dengan semangat yang lesu kerana kecewa dengan peranan Anwar dalam membina masalah rakyat masa kini. Kita tidak akan bincangkan perkara ini dengan lanjutnya tetapi saya ada memberitahu segelintir pemimpin Keadilan yang rapat dengan Anwar, mereka akan kecewa satu hari nanti.

Segelintir pro-Anwar terkejut dan kecewa dengan pendirian saya. Mereka telah melihat saya menolak jemputan untuk bersama majlis santapan bersama Anwar sedangkan kata mereka saya banyak menulis pro-Anwar semasa di dalam penjara. Saya menjawab dengan mudah sahaja: Saya menulis itu bukan kerana Anwar tetapi kerana keadilan dan kebenaran.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui hubungan bersurat saya dengan Dr. Wan Azizah, Anwar Ibrahim (melalui kiriman tangan) dan anak mereka Nurul Izzah mengenai perkara ini. Suatu hari saya akan dedahkan isi tulisan saya itu. Memadailah kalau saya katakan bahawa saya pernah menasihati Nurul Izzah untuk bersiap sedia memperkemas diri naik menjulang dalam persada politik kerana kata saya secara bersurat: “Kalau ada calon yang paling sesuai untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti beliau bukanlah Anwar Ibrahim tetapi Nurul Izzah.”

Ramalan saya ini adalah berdasarkan situasi dan keadaan negara sebelum nama Raja Petra naik mendadak dan laman webnya naik paling popular.

Saya tidak nampak Anwar Ibrahim akan naik menjadi Perdana Menteri kerana dia sudah kelesuan idea untuk menonjolkan diri menjadi pemimpin terulung negara.

Akan tetapi keadaan akan bertukar rupa seandainya Raja Petra ditangkap polis dan dikenakan tahanan mengikut Akta ISA. Kalau ini berlaku, besar kemungkinannya rakyat marhaen akan bangkit berdemonstrasi di jalan raya dan mengadakan pelbagai bentuk ‘hartal' yakni kegiatan mogok sivil dan memboikot perkara dan barangan tertentu secara beramai-ramai dan terancang.

Siapakah nanti yang akan mengepalai demonstrasi jalanan ini kalau bukan Anwar Ibrahim? Ada ubi ada batas, ada budi ada balas. Semasa Anwar meringkuk dalam penjara dan sibuk ke mahkamah siapakah yang menyibuk memperjuangkan nasibnya kalau bukan Raja Petra? Semasa muncul kes keracunan arsenik Anwar dalam penjara siapakah yang diamanahkan pergi keluar membawa contoh darah untuk dianalisis di Australia kalau bukan Raja Petra?

Kerajaan pimpinan UMNO dan pihak polis sedar segala perkara ini dan banyak perkara lagi yang belum diketahui umum.

Kalau Raja Petra ditangkap, akan ada kumpulan yang berdemonstrasi di jalan raya dan akan ada kumpulan yang mendesak Anwar mengepalai barisan rakyat menentang kerajaan.

Apakah kesudahannya? Besar kemungkinan anak-anak muda yang sedang menganggur akan turut serta dan tidak menghairankan kalau ada satu pasukan sulit pegawai muda askar Melayu dalam angkatan tentera merampas kuasa. Mereka akan bertindak dan menyatakan taat setia kepada Agong dan Raja-Raja,

Junta tentera akan bertindak menangkap hampir semua pemimpin UMNO dan BN dan membatalkan pasport mereka. Besar kemungkinan Majlis Raja-Raja akan bersidang dan melantik seorang Perdana Menteri sementara untuk mentadbir negara. Semua parti politik akan diharamkan dan Majlis Raja-Raja akan meminta Perdana Menteri sementara itu menubuhkan sebuah kabinet mengandungi pemimpin awam daripada setiap lapisan masyarakat.

Kalau tidak percaya tangkaplah Raja Petra secepat mungkin.

0 Komen for this post