Umno Terus Reka Isu Tutup Kelemahan Sendiri!- L

By Unknown on Tuesday, July 24, 2007

Filed Under:


23 Julai 2007

Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussien bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencipta isu untuk menutup krisis dalaman KeADILan adalah jelas satu kenyataan yang dangkal dan membuktikan bahawa Umno terdesak memanipulasi keadaan.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menegaskan bahawa isu yang didukung oleh KeADILan secara am dan khusus memberi penumpuan kepada isu-isu nasional yang prihatin ke atas kepedulian rakyat, berbeza dengan Umno yang hanya memanipulasi keadaan demi memastikan hegemoni politik mereka terus terjaga dan tidak tergugat.

Isu mengenai ketelusan konsesi tol SMART, isu kontrak percetakan wang RM600 juta, sokongan ke atas perlaksanaan gaji minimum, kemelut salahguna kuasa Ketua Polis Negara dan mempertahankan kredibiliti dan imej Malaysia dengan mendesak pengakuan Timbalan Perdana Menteri mengenai hubungkait beliau dengan Altantuya Shaariibuu, adakah semua isu ini rekaan KeADILan?

Sebaliknya, Umno terus kecut dengan memainkan polemik Negara Islam, dasar usang DEB, perpaduan Melayu, demi semata-mata terus meraih sokongan masyarakat Melayu, yang majoritinya kian sedar bahawa Umno semakin tidak relevan di sebalik slogan-slogan yang mereka cipta.

AMK begitu yakin dan percaya bahawa ini hanya membuktikan bahawa KeADILan memang merupakan ancaman terbesar Umno dan Barisan Nasional, sehingga menyebabkan mereka terdesak memanipulasi keadaan menggunakan media arus perdana untuk menggugat kepercayaan rakyat keseluruhannya.

AMK kekal percaya bahawa rakyat kian bijak menilai, seterusnya akan terus memastikan bahawa Umno hanya akan tinggal nama di sebalik perjuangan bersifat perkauman yang sudah lapuk dan usang.

Malaysia sedang mengorak langkah ke arah pembentukan sebuah negara yang maju, justeru, kerangka pemikiran perkauman usang Umno, hanya kekal retorik dan membuktikan bahawa mereka kini kian terdesak!

Fariz Musa
Timbalan Ketua
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat


Biro Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
No 110-3, Jln Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
Laman Web Rasmi: http://amk.keadilanrakyat.org
Emel: penerangan.amk@gmail.com

0 Komen for this post