Ijok: Kes Altantuya, Najib faktor utama KeADILan menang
By Unknown on Saturday, April 21, 2007
Filed Under:
Kes pembunuhan ngeri model Altantuya Shariibuu yang dikaitkan oleh pihak tertentu dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak menjadi faktor utama untuk KeADILan meraih kemenangan dalam pilihan raya Dun Ijok, 28 April nanti.
Ini berikutan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pernah meminta pihak berkuasa menyiasat tuduhan yang melibatkan Najib dalam kes tersebut dengan meletakkan rasional pembabitan UTK yang bertindak khas di bawah TPM sebagai alasan tuduhan.
Mengulas faktor itu, bekas Adun Lunas, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya itu sentiasa bersarang dalam kepala rakyat termasuk 12 ribu pengundi di Dun Ijok.
Beliau yang dihubungi berpendapat, setelah beberapa minggu Anwar secara berterusan mendesak pihak berkuasa membuat penyiasatan terhadap Najib tetapi tidak ada sebarang reaksi daripada Najib.
Katanya, mengapa menjelang pilihan raya khususnya di hari penamaan calon Najib baru membuat jawapan secara terbuka.
Menurut beliau, KeADILan mempunyai lebih daya tarikan dalam mood pilihan raya kali ini jika menggunakan taktik yang betul dengan isu penduduk di Simpang Tiga Ijok, Batang Berjuntai dan cabaran terbesar ladang di kawasan majoriti India.
Walaupun katanya, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo telah menjanjikan peruntukan 36 juta untuk penduduk Ijok tetapi perlu diingat perkara yang sama telah dilakukan dalam pilihan raya Dun Lunas.
Tambah beliau, di Dun Lunas Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S Samy Vellu telah memperuntukkan RM2 juta dalam tempoh sembilan hari tetapi pengundi di Lunas menunjukkan kematangan luar biasa.
Katanya, pengundi Lunas menerima projek tetapi tidak menyokong BN kerana mereka berfikir pelaksanaan projek yang dilakukan menjelang pilihan raya merupakan langkah terdesak pimpinan BN.
"Saya berharap kematangan pengundi hari ini dapat membezakan langkah terdesak untuk memancing undi dengan ikrar perkhidmatan tidak bermusim oleh pimpinan BN," tegasnya.
Mengulas tentang calon PKR, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim katanya, Khalid memberikan kelebihan berbanding calon BN, K.Parthiban dari segala aspek kualiti, pengalaman, hubungan dan sebagainya.
Ini sekaligus memberi peluang terbaik untuk pengundi Dun Ijok membuat pilihan dan tanggungjawab mereka perlu memilih yang terbaik daripada dua calon yang baik.
Tidak puas hati Umno
Selain itu beliau turut menyentuh, sebelum penamaan calon timbul rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan Umno Kuala Selangor yang dizahirkan secara terbuka.
Katanya, pimpinan Umno Kuala Selangor secara terbuka mahu kerusi di Dun Ijok diserahkan kepada Umno tetapi hal itu tidak mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan parti.
Begitu juga tambah beliau, perpecahan dalaman MIC iaitu tindakan Ketua MIC bahagian Kuala Selangor, S P Thirumoorthy, 55, yang mengancam meletakkan jawatan jika tidak dipilih sebagai calon BN di Ijok.
Menurut beliau, perkara itu memberikan gambaran perpecahan dalaman BN yang jelas hanya diberikan perhatian sedikit dan tidak diberikan liputan meluas.
Bagaimanapun kata beliau, rasa marah pimpinan Umno Kuala Selangor mudah ditangani berbanding kemarahan yang ditimbulkan oleh MCA dan MIC.
Ini jelas menunjukkan bahawa pimpinan tertinggi BN telah mengabaikan ahli Umno di peringkat akar umbi dengan memandang rendah seolah-olah ahli Umno tidak mempunyai nilai khususnya di Kuala Selangor.
Oleh itu beliau menyeru ahli Umno dan semua pengundi Dun Ijok supaya membuat pilihan yang tepat kerana calon PKR merupakan calon yang berkualiti.
Beliau turut meningatkan petugas KeADILan supaya berusaha menambahkan sokongan di kalangan bangsa Melayu di samping meningkatkan sokongan Cina dan merebut saki baki sokongan India. - mks.
0 Komen for this post