Banyak pihak termasuk ahli-ahli UMNO sendiri merasa terkejut dengan perlakuan ala samseng seorang yang berpangkat Menteri Kanan di dalam kabinet negara. Pada awalnya masing-masing menyatakan ia hanya tuduhan dan fitnah tetapi apabila beberapa gambar menunjukkan aksi sebenar pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO itu, masing-masing tersentak dengan perlakuan ganjil oleh kononnya "bakal pemimpin negara" ini.
Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Sabky Yusuf ketika dihubungi Harakahdaily mendakwa kekecohan merupakan salah satu taktik yang cuba dimainkan oleh Pemuda Umno dalam pilihan raya ini.
“Saya rasa mereka merancang untuk menjadikan pilihan Ijok satu pilihan raya yang tegang,” dakwanya.
Malah katanya, mereka juga memang menginginkan supaya pilihan raya ini dilihat tegang .
Oleh kerana itu katanya, pada perarakan parti KeADILan semalam mereka cuba menghalangnya.
“Jadi kami memberi amaran agar Pemuda Umno mengadakan kempen mengikut peraturan pilihan raya dan mengelakkan kejadian provokasi berulang dalam kempen yang diadakan,” katanya.
Dalam pada itu Sabky berkata BN tidak boleh menuduh KeADILan menggunakan laluan mereka semasa perarakan semalam.
Ini katanya, semua pengurusan pada hari tersebut adalah di bawah pengurusan pilihan raya dan sewajarnya BN tidak boleh salahkan parti yang menyertai pilihan raya.
“Semua pengurusan pilihan raya kendalian di bawah SPR kenapa disalahkan pihak yang bertanding dan ini menunjukkan kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguruskan pilihan raya ini,” katanya.
Bidasnya lagi jika BN selalu mengalami insiden buruk apabila berhadapan dengan KeADILan,maka ini menunjukkan BN sendiri yang tidak matang kerana tidak mampu mengawal keadaan untuk berhadapan dengan KeADILan.
KeADILan buat laporan polis
Sementara itu, KeADILan dalam kenyataannya menegaskan, insiden keganasan semalam dipercayai sengaja dirancang oleh pemuda BN.
Pemangku Ketua,Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perancangan tersebut jelas apabila Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menuduh KeADILan sengaja melanggari peraturan keselamatan dengan sengaja berarak untuk bertembung dengan jentera BN kerana ia adalah bohong dan tidak berasas sama sekali.
“AMK telah mendapatkan penjelasan daripada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Dato' Kamaruzaman Mohd Noor yang mengesahkan laluan perarakan oleh keADILan adalah betul,” katanya.
Sehubungan itu dakwanya, halangan yang dilakukan terhadap calon KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam dirancang lebih awal oleh mereka untuk tujuan melakukan provokasi awal terhadap penyokong termasuk cubaan menghalang calon KeADILan ke tempat penamaan calon tepat pada waktunya.
“Sebab itu saya percaya ini merupakan taktik awal untuk provok atau membangkitkan kemarahan penyokong KeADILan,” katanya.
Malah katanya, tuduhan Ketua Pemuda Umno, Dato’ Sri Hishamuddin Tun Hussein bahawa KeADILan sebuah parti ganas menggambarkan tahap pemikirannya cetek.
Katanya, disebabkan itu KeADILan membuat dua laporan polis berhubung insiden di Ijok semalam iaitu satu di bawah Seksyen 323 kanun keseksaan (mendatangkan kecederaan dengan sengaja) dan satu lagi laporan di bawah Seksyen 336 (membahayakan nyawa dan keselamatan diri) Kanun Keseksaan.
Katanya, laporan tersebut dibuat di balai polis Batang Berjuntai dan kes tersebut katanya sedang disiasat polis.
Sehubungan itu, AMK memberi amaran kepada Khairy dan konco-konconya untuk tidak bertindak di luar batas undang-undang kerana AMK tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka.
Dalam pada itu, Pengerusi Mafrel, Abdul Malek Hussin dalam satu kenyataan menegaskan, pihak polis sewajarnya bertanggungjawab atas keselamatan awam dengan mengaturkan pengasingan penyokong-penyokong kedua parti yang bertanding.
Menurutnya, pihak polis juga patut memperuntukkan ruangan dan sempadan yang bersesuaian dalam pilihan raya tersebut.
Selain itu katanya, "pihak SPR bertanggungjawab mengendalikan proses pilihan raya dengan mengingatkan semua parti dan bakal calon yang bertanding mengenai kod etika sebelum hari penamaan calon." - mks.

0 Komen for this post